BARAM, 23 Nov: Kerajaan Sarawak terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperluaskan elektrifikasi menerusi pelaksanaan projek solar hidrid.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, ia merupakan langkah sementara dalam usaha menghubungkan kawasan pedalaman Sarawak dengan grid utama negeri.
“Usaha membekalkan elektrik 24 jam ke kawasan pedalaman seperti di Baram telah banyak memanfaatkan masyarakat kita.
“Sarawak kini hampir mencapai 98 peratus liputan elektrik di kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom pada Majlis Perasmian Projek Solar Hibrid di Kampung Long Atip di sini hari ini.
Projek solar hibrid yang dilancarkan di Long Atip memberikan harapan baharu kepada penduduk pedalaman Sarawak untuk menikmati kemudahan elektrik lebih stabil sekali gus merangsang pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan tersebut.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak sedang merancang untuk menghubungkan kawasan pedalaman dengan grid utama seperti dari Bakun dan Murum bagi memastikan bekalan elektrik lebih stabil serta berterusan.
Selain projek elektrifikasi kata Gerawat, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan jalan raya di kawasan pedalaman.
“Jalan dari Long Atip ke Long Terawan telah dinaik taraf dengan kos RM5 juta termasuk pembaikan 12 jambatan kayu sementara dan jambatan besi.
“Untuk masa depan, jalan ini akan menjadi sebahagian daripada rangkaian laluan yang menghubungkan kawasan pedalaman dengan bandar utama termasuk jalan dari Miri ke Marudi dan seterusnya ke Limbang dan Sabah melalui Laluan Sabah-Sarawak Link Road (SSLR).
“Projek ini dijangka bermula tahun depan dan akan memudahkan pergerakan penduduk pedalaman,” ujarnya.
Pada masa sama beliau optimis pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan akses Internet akan membuka peluang ekonomi kepada kawasan pedalaman Baram.
“Dengan perkembangan infrastruktur dan teknologi, saya percaya kawasan pedalaman Baram mempunyai potensi besar untuk sektor pelancongan serta pertanian.
“Kemudahan jalan raya, bekalan elektrik dan akses Internet yang lebih baik akan membuka peluang pekerjaan serta membolehkan anak-anak kita bekerja dari kampung halaman,” jelasnya.-TVS