KUCHING, 23 Nov: Ketua Whip Dewan Undangan Negeri (DUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Ibrahim Baki menyifatkan kenyataan bekas Menteri Undang-Undang Datuk Zaid Ibrahim sebagai satu kesilapan dalam memahami undang-undang maritim.
Beliau berkata, dua konsep yang disuarakan Zaid iaitu keupayaan mengeksploitasi sumber petroleum dan had wilayah sesebuah negeri tidak boleh disamakan adalah kurang tepat.
“Di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi. Perlembagaan ini menetapkan kuasa legislatif ke atas eksploitasi sumber seperti petroleum yang merupakan sebahagian daripada tanah.
“Di bawah Perkara 2 dalam Senarai Negeri (Senarai Kesembilan), negeri mempunyai kuasa legislatif (dan eksekutif) ke atas tanah. Kuasa ini termasuk seperti dalam Perkara 2(c) pengeluaran lesen mencarigali, pajakan perlombongan dan sijil.
“Perkara 8(j) dalam Senarai I (Senarai Persekutuan) secara jelas tertakluk kepada Perkara 2(c) dalam Senarai Negeri. Kerajaan Persekutuan mungkin mempunyai kuasa untuk pembangunan sumber asli, minyak dan medan minyak tetapi kuasa ini tetap tertakluk kepada Perkara 2(c) Senarai Negeri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok berkata, semua negeri termasuk Sarawak berhak mengawal perlombongan petroleum atau pembangunan medan minyak di tanah negeri manakala kuasa Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan sumber petroleum tertakluk kepada lesen, pajakan serta sijil yang dikeluarkan oleh negeri.
“Memandangkan Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi bukannya Parlimen. Atas asas apa Parlimen meluluskan Akta Perlombongan Petroleum 1966 untuk membolehkan Pihak Berkuasa Petroleum Persekutuan mengeluarkan pajakan perlombongan?
“Mungkin Datuk Zaid boleh menjelaskan di bawah peruntukan mana dalam Perlembagaan Persekutuan Parlimen diberi kuasa untuk meluluskan undang-undang yang memberikan semua petroleum di darat dan laut Sarawak kepada Petronas,” ujarnya.
Menurutnya, rakyat Sarawak berhak merasa tidak berpuas hati kerana hak mereka untuk mengeksploitasi sumber petroleum di darat dan laut Sarawak telah dinafikan melalui undang-undang yang mungkin melangkaui kuasa perlembagaan Parlimen.
“Rakyat Sarawak mahu bahagian hasil yang lebih adil daripada petroleum yang dihasilkan di negeri mereka setelah menyumbang hampir RM1 trilion kepada perbendaharaan Persekutuan sejak penggubalan Akta Pembangunan Petroleum 1974.
“Selain itu, mereka juga mahukan lebih banyak gas asli untuk menyokong pembangunan industri tempatan dan pengembangan penjanaan kuasa,” jelasnya.
Mengenai had geologi wilayah Sarawak pula, tiada siapa boleh menafikan bahawa Order in Council 1954 telah memperluas sempadan Sarawak untuk merangkumi dasar laut dan sublapisan yang membentuk Pelantar Benua bersebelahan dengan perairan wilayah.
“Kawasan tenggelam yang diperluaskan ini merupakan tanah takhta yang pada Hari Malaysia telah diserahkan oleh Raja British kepada Sarawak melalui salah satu instrumen perlembagaan yang dilampirkan pada Perjanjian Malaysia seperti yang dinyatakan dalam Perkara III.
“Kawasan tenggelam yang diperluaskan di Pelantar Benua ini tidak pernah diserahkan oleh Kerajaan British kepada Persekutuan atau Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.
Tambahnya, tuntutan Malaysia terhadap kedaulatan pelantar benua di bawah Undang-Undang Lautan PBB (UNCLOS) 1982 tidak menjejaskan hak dan kuasa Sarawak atau wilayahnya.
“Hal ini dengan jelas dinyatakan dalam definisi Pelantar Benua dalam Akta Pelantar Benua 1966 seperti yang dipinda pada 2009.
“Rakyat Sarawak berharap agar tuntutan mereka yang sah untuk bahagian hasil petroleum yang adil dapat diselesaikan secara baik.
“Mereka juga ingin mendapatkan lebih banyak gas asli untuk industri tempatan serta hak yang lebih besar untuk menyertai perniagaan minyak dan gas huluan serta hiliran,” tambahnya.
Menurut Ibrahim, rakyat Sarawak mahu semua undang-undang yang melindungi wilayah ini serta haknya ke atas sumber petroleum dan industri minyak dan gas hiliran dihormati serta dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak yang beroperasi di Sarawak.– TVS