KUALA LUMPUR, 22 Nov: Pengendali syarikat penerbangan dari negara Asean bakal memperoleh hak persinggahan di mana-mana negara anggota pada tahun depan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, manfaat itu adalah hasil pemeteraian Protokol 5 Hak Persinggahan antara Titik di mana-mana Wilayah Negara Anggota Asean antara negara anggota pada Mesyuarat Menteri Pengangkutan Asean ke-30 dan Mesyuarat Pegawai Kanan Pengangkutan ke-58.
Jelas beliau, protokol baharu itu membenarkan syarikat penerbangan untuk membuat persinggahan, dan meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya dalam negara-negara Asean tanpa perlu berpatah balik.
“Katakan kita pergi ke Singapura dari Kuala Lumpur, dari Singapura boleh terus ke Bali umpamanya boleh ada ‘stopover’ dan teruskan penerbangan dari titik tersebut.
“Ini sudah tentu memudahkan syarikat penerbangan dan meningkatan ketersambungan udara rantau,” katanya pada sidang media Mesyuarat Menteri Pengangkutan Asean ke-30 dan Mesyuarat Pegawai Kanan Pengangkutan ke-58.
Tambahnya, protokol terbabit adalah satu penambahbaikan dan kemajuan dalam sektor penerbangan di peringkat Asean.
Loke berkata, Malaysia juga telahpun mendapat persetujuan semua negara anggota untuk pemeteraian protokol tersebut dan sedang menunggu tandatangan negara Vietnam.
Sementara itu, beliau yakin Malaysia akan memperoleh impak positif daripada protokol ini di bawah Dasar Awan Terbuka.
“Kita mendapat manfaat kerana syarikat penerbangan seperti AirAsia, Batik Air, Malaysia Airlines memiliki banyak penerbangan di rantau Asean.
“Khususnya AirAsia yang habnya di Kuala Lumpur, kita terbang merata tempat di seluruh Asean,” tambahnya. – TVS