MIRI, 22 Nov: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang ditubuhkan sejak 1987 kekal relevan bagi mengurangkan kadar kemiskinan terutama dalam kalangan wanita.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak, dan Kesejahteraan Masyarakat Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, kewujudan AIM memberikan harapan kepada wanita untuk mengubah kehidupan.
“Bantuan dalam bentuk kredit kewangan bersaiz kecil hingga besar membantu isi rumah memulakan aktiviti ekonomi tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Sahabat Usahawan AIM Cawangan Niah di Dewan Masyarakat Bekenu hari ini.
Karnival dua hari itu dianjurkan Kelab Usahawan Wanita Ikhtiar Niah (KUWIN) dengan kerjasama AIM Cawangan Niah.
Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menjelaskan, AIM Cawangan Niah yang ditubuhkan sejak 2015 kini mempunyai 2,191 sahabat usahawan berbanding hanya 1,834 pada awal penubuhannya.
“Pembiayaan meningkat daripada RM9,105,800 kepada RM11,046,800 pada 2024 dengan kadar pembayaran balik mencapai 100 peratus.
“Kejayaan dalam memastikan disiplin pembayaran balik 100 peratus ini menunjukkan pencapaian luar biasa AIM Cawangan Niah,” ujarnya.
Menurutnya, selain memperkasa wanita melaui aktiviti ekonomi, AIM juga menjaga kebajikan ahli.
“Setakat Oktober 2024, AIM Cawangan Niah menyediakan RM68,900 melalui Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat merangkumi bantuan dialisis, kematian, kemusnahan rumah dan sumbangan pendidikan kepada anak sahabat usahawan,” jelasnya.-TVS