BEAUFORT, 21 Nov: Seorang lelaki berusia 70-an ditahan selepas dipercayai menetak mangsa hingga mati dalam kejadian di kawasan semak di Kampung Balibata, di sini, semalam.
Kejadian yang melibatkan dua warga asing itu dipercayai bermotifkan dendam dan berlaku kurang dari 24 jam sebelum ditemui.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Polis Wong Leong Meng berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang maut merupakan seorang lelaki berusia 30-an.
Menurutnya, mangsa ditemui kira-kira jam 2 pagi dalam keadaan lengkap berpakaian dan tertiarap di atas tanah serta berlumuran darah.
“Suspek dan mangsa dipercayai warganegara Filipina dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan pada badan mangsa menemui kesan tetakan di bahagian siku, lengan kiri dan belakang leher dipercayai disebabkan tetakan senjata tajam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, Leong Meng berkata, kejadian berkenaan disedari selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh orang awam.
Susulan itu katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort dan Siasatan Khas D9 Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah terus melancarkan Op Tutup dan Op Kesan untuk memburu suspek.
“Selepas lebih 12 jam operasi dilancarkan, suspek berjaya diberkas berhampiran Kampung Balibata kira-kira jam 2.30 petang tadi.
“Pasukan operasi turut merampas senjata yang digunakan oleh suspek dalam kejadian itu untuk siasatan lanjut,” ujarnya. – TVS