BINTANGOR, 21 Nov : Misteri kehilangan beberapa ekor anak kucing sejak beberapa hari lalu akhirnya terungkai dengan penemuan seekor ular sawa batik di dapur sebuah rumah di Jalan Kelupu di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Penolong Penguasa Bomba Nicholas Belulin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sejurus menerima aduan pengadu, Ting Sing Dien, 60, pada jam 7.23 pagi.
Sebelum kejadian menurutnya, pengadu mendakwa kucing peliharaannya hilang tanpa dikesan sejak beberapa hari lalu.
“Ketika kejadian dia ke dapurnya untuk menyediakan sarapan pagi sebelum terperanjat melihat seekor ular besar melingkar di salah satu ruang dapur itu.
“Dia kemudiannya bergegas memberitahu ahli keluarga sebelum menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukannya mendapati haiwan terbabit bersembunyi di bawah rak dapur rumah berkenaan.
Katanya, haiwan seberat hampir 40 kilogram itu agak agresif ketika ditangkap memaksa operasi itu berjalan lebih setengah jam.
“Berbekalkan pengalaman, ular akhirnya berjaya ditangkap dengan menggunakan penjerut sebelum dilepaskan semula ke habitat asal yang jauh dari penempatan penduduk. Operasi tamat pada jam 7.50 pagi,” ujarnya.
Nicholas berkata, bomba tidak menolak kemungkinan reptilia itu masuk ke ruang dapur itu melalui salah satu tingkap kediaman terbabit. – TVS