KUCHING, 20 Nov: Hidrogen dijangka terus menjadi sumber tenaga mampan yang memiliki potensi besar di seluruh dunia sebagai alternatif utama dalam usaha untuk mengurangkan kesan perubahan iklim dan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dengan perkembangan teknologi dan pelaburan dalam sektor ini, hidrogen memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan tenaga global yang lebih lestari pada masa depan.
“Elon Musk yang terkenal dengan kerjanya dalam industri kereta elektrik, baru-baru ini mengakui nilai hidrogen.
“Walaupun beliau telah lama menyokong kenderaan elektrik, kini beliau melihat hidrogen sebagai penyelesaian yang boleh dilaksanakan untuk mobiliti,” katanya.
Mengakui ia memerlukan kos yang besar pada awal pembangunan, malah disifatkan masih mahal terutama dalam penghasilan hidrogen hijau menggunakan tenaga boleh diperbaharui untuk memecahkan komponen air (H2O).
“Walaupun menghadapi cabaran ini, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada 2021 meramalkan kos hidrogen hijau dapat menurun lebih 50 peratus menjelang 2030 seiring dengan kemajuan teknologi dan penurunan kos elektrik boleh diperbaharui.
“Ramalan ini menyerupai penurunan kos tenaga solar yang pernah mahal, namun menurun sebanyak 80 peratus antara 2010 hingga 2020 akibat kemajuan teknologi dan skala ekonomi,” katanya.
Abang Johari optimis hidrogen dijangka akan menjadi lebih murah dan boleh dikembangkan, sekali gus menjadikannya sebagai tenaga yang cekap.-TVS