KUCHING, 20 NOV: Sarawak terus memperkukuh autonomi ekonominya melalui pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum yang dieksport dari Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata langkah ini mengesahkan hak eksklusif negeri yang menyumbang kepada peningkatan hasil negeri.
“Kerajaan Sarawak juga berjaya mendapatkan semula kawalan terhadap aset strategiknya dengan pemindahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak. “katanya pada sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Dengan kelulusan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pindaan) 2024, pengurusan pelabuhan di Sarawak kini disatukan di bawah satu badan negeri, memperkukuh kawalan terhadap aset ekonomi dan meningkatkan keberkesanan operasi logistik.
Langkah ini menunjukkan usaha gigih kerajaan negeri untuk memanfaatkan sepenuhnya sumber ekonomi demi kesejahteraan rakyat.
Pemindahan kawalan terhadap Gas Petroleum Cecair (LPG) kepada Sarawak juga mengukuhkan kedudukan negeri dalam mengurus sumber semula jadi sekali gus memperkukuh autonomi Sarawak di bawah MA63.-TVS