KUCHING: Setelah hampir dua dekad penduduk Kuching berdukacita ekoran keruntuhan Jambatan Gantung Satok pada tahun 2004, kedukaan tersebut bakal terubat dengan pembukaannya kepada orang ramai pada Selasa, 24 Ogos.
Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata jambatan yang asalnya lebih dikenali sebagai ‘Jambatan Gantung’ itu merupakan tempat yang mengabadikan banyak kenangan.
“Jambatan Satok menjadi salah satu mercu yang ikonik di Sarawak serta mempunyai nilai sentimental, khususnya buat penduduk di sekitar Kuching.
“Jambatan Satok, atau lebih dikenali sebagai Jambatan Gantung oleh penduduk Kuching, mempunyai nilai yang cukup sentimental, kerana kalau dahulu tiada tempat lain untuk dituju. Jadi masa muda-muda dulu memang Jambatan Satok menjai tempat pilihan untuk bersantai.
“Ia sering dijadikan tempat untuk bersantai dan sebab itulah apabila jambatan tersebut runtuh, penduduk Kuching amat berdukacita kerana jambatan tersebut sememangnya sentiasa dalam sanubari warga Kuching,” katanya ketika ditemui selepas rakaman Borak Teh C Peng terbitan TVS pada Isnin.
Tragedi itu membuatkan ramai mengeluh kerana Kuching kehilangan salah satu binaan bersejarah yang turut menjadi daya tarikan pelancong di bandar raya ini.
Jambatan Gantung Satok yang runtuh dahulu berukuran 130 meter panjang dan 2.3 meter lebar, dan ia menempatkan saluran paip dari tangki air di Matang ke kawasan seberang Sungai Sarawak, termasuk pusat bandar Kuching pada zaman pemerintahan Rajah Putih.
Jelas Abdul Karim, sebelum jambatan yang lebih besar dibina, Jambatan Gantung Satok merupakan jambatan pertama merentangi Sungai Sarawak dan satu-satunya jalan penghubung yang ada untuk menghubungkan kawasan Satok dengan kawasan Matang selain perkhidmatan feri.