KUCHING, 19 Nov: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan aset bernilai RM30.65 bilion menerusi panggilan kecemasan kata Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Menjelaskan perkara berkenaan, Timbalan Premier Sarawak itu berkata JBPM menerima 1,930 panggilan kecemasan kebakaran, 5,944 panggilan penyelamatan, dan 45 panggilan perkhidmatan khas dari Januari hingga 31 Oktober 2024.
“Daripada keseluruhan jumlah itu, RM29.86 bilion yang diselamatkan adalah daripada dua kes kebakaran kapal marin di Miri dan dua kes kebakaran kilang di Bintulu.
“Peningkatan ketara dalam nilai aset yang diselamatkan ini adalah hasil penubuhan pasukan tindak balas pertama di kilang-kilang dan komuniti, selain penubuhan balai bomba baharu yang mengurangkan masa tindak balas jabatan,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Katanya JBPM komited untuk melaksanakan program pendidikan awam dan kesedaran mengenai keselamatan kebakaran untuk komuniti di Sarawak.
Sehingga 31 Oktober 2024, JBPM telah melaksanakan 1,275 program kesedaran awam yang melibatkan 96,950 peserta berbanding 114 program dengan 7,139 peserta bagi tempoh yang sama pada tahun 2023, katanya.
Dalam pada itu, Dr Sim turut mendedahkan JBPM masih menjalankan analisis situasi untuk menyemak kriteria penubuhan balai bomba di kawasan pedalaman Sarawak sebelum memuktamadkan cadangan dan penghantaran kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Malaysia. – TVS