KUALA LUMPUR, 19 Nov: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan Program Jualan Rahmah MADANI @ Kampus di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara, bermula Januari tahun depan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata inisiatif yang akan dilaksanakan secara berperingkat itu bertujuan untuk memperluaskan kumpulan sasar penerima manfaat kepada mahasiswa-mahasiswa di IPT.
Sehubungan itu, beliau memberi mandat kepada Gerakan Pengguna Siswa (GPS) untuk mengesyorkan mekanisme pelaksanaan yang sesuai kepada KPDN dalam tempoh dua minggu.
“KPDN akan perkasa GPS sebagai rakan strategik kita untuk mengemukakan syor dan pandangan tentang kaedah dan mekanisme terbaik dan barangan yang sesuai untuk dijual dalam PJRM yang akan dilaksanakan di kampus.
“Kita mengharapkan dengan adanya suara daripada kumpulan sasar mahasiswa sendiri, PJRM@Kampus dapat berlangsung dengan berkesan dan mencapai objektif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa Peringkat Kebangsaan 2024, di Residensi dan Hotel Universiti Teknologi Malaysia (UTM), hari ini.
Armizan menambah, projek rintis juga akan dilaksanakan di beberapa IPT terlebih dahulu bagi melihat sambutan dan penglibatan mahasiswa.
“Keutamaan akan diberikan kepada IPT yang ada penggerak kita iaitu GPS, kerana mereka akan menjadi barisan hadapan untuk memastikan pelaksanaan yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, kekerapan pelaksanaan PJRM@Kampus akan dibincangkan berdasarkan pembahagian peruntukan Inisiatif Payung Rahmah bagi PJRM sedia ada.
Beliau berkata, inisiatif itu adalah antara penambahbaikan KPDN dalam memanfaatkan peningkatan peruntukan daripada RM200 juta kepada RM300 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini. – TVS