KUCHING, 19 Nov: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menerima peruntukan RM50 juta untuk acara pelancongan 2024, dengan RM45 juta untuk acara pelancongan dan RM5 juta untuk geran penyelidikan pelancongan.
Perkara itu didedahkan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
“Sebanyak RM10 juta lagi baru sahaja diluluskan pada awal tahun ini untuk persembahan Seni, Budaya, Warisan dan Dana Pemudahcara Industri Kreatif.
“Setakat ini, 20 cadangan telah dianugerahkan di bawah Geran Penyelidikan Pelancongan Sarawak berjumlah RM5.32 juta menerusi enam institusi pengajian tinggi dan empat Badan Bukan Kerajaan (NGO),” katanya.
Menurut Abdul Karim, setakat 18 November ini, kementeriannya telah melaksanakan 238 acara dan perayaan dengan peruntukan sebanyak RM40.5 juta.
Beberapa acara dan festival yang dijadualkan pada 2024 termasuk Pesta Benak Sri Aman, Borneo Jazz Festival, 12th Sibu International Bike Week, Festival Muzik dan Seni Antarabangsa Sarawak ke-5 (SIFMA 5), Ekspo Esport Sarawak 2024, dan Countdown 2025 di Tebingan Kuching.
Selain itu, RM9.77 juta diperuntukkan kepada 134 individu dalam industri kreatif, warisan, seni, dan budaya untuk menyokong aktiviti anjuran pelbagai pihak.
Jelasnya, peruntukan ini penting untuk menyokong pembangunan dan kemampanan Industri Kreatif di Sarawak. – TVS