SARIKEI, 19 Nov: Polis memohon maklumat orang ramai berhubung kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di Jalan Kim San di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, maklumat berkenaan penting bagi melengkapkan siasatan ke atas kes di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu.
Sehubungan itu katanya, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Mustaqim Idris menerusi talian 010-4427240 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Siasatan awal, kemalangan berlaku semasa motosikal tersebut dalam proses memotong kenderaan di hadapan terlanggar tepi sebelah kanan lori yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Insiden kira -kira jam 12.30 tengah hari itu mengakibatkan seorang lelaki 43 tahun maut manakala, seorang wanita dan kanak -kanak yang masing -masing berusia 38 dan lima tahun mengalami kecederaan.
Aswandy berkata, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan termasuk tangan dan kaki.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat. Sementara itu, pemandu lori berusia 26 tahun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai agar berhati-hati semasa memandu dan sentiasa mematuhi undang-undang memastikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya.-TVS