KUCHING, 18 Nov: Sebanyak 56 bas henti-henti diperkenalkan di bawah Projek Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST), kata Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin.
Beliau berkata, bas tersebut akan dilengkapi Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV), Wifi, Sistem Penentududukan Global (GPS) dan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).
Menurutnya, projek pelaksanan di bawah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) itu Sarawak dijangka beroperasi awal tahun hadapan.
“Projek ini akan memperkenalkan 56 bas henti-henti baharu yang akan beroperasi di 10 laluan di Kuching seterusnya meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di bandar tersebut.
“Laluan ini akan merangkumi kawasan di Kuching seperti Bau, Serian, Bako, Kampung Benuk, Batu Kawa, King Centre, Muara Tebas, Taman Malihah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Matang 2,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN hari ini.
Menurutnya, projek tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM79.18 juta dalam tempoh lima tahun di bawah SBST Kerajaan Persekutuan.-TVS