KUCHING, 19 Nov: Yayasan Peneraju Exchange (YPX) Sarawak Chapter 2024 bakal menjadi ‘game changer’ serta pengubah landskap keusahawanan Bumiputera selari dengan rangka kerja Ekonomi MADANI yang menggariskan tunggak ‘Menaikkan Siling’ yang bertujuan mengukuhkan ekonomi dan mengembangkan kekayaan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata, menerusi program itu peserta YPX Sarawak Chapter 2024 katanya akan didedahkan dengan panduan, teknik untuk memperoleh kejayaan dalam kepimpinan, digital dan perniagaan serta realiti sebenar landskap keusahawanan masa kini untuk dijadikan panduan dalam merencana hala tuju perniagaan mereka pada masa mendatang.
“Kita melihat kepada perkembangan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif, selain mencari bakat keusahawan yang berdaya saing dan mendunia seperti anda semua dan sekaligus akan menjurus kepada pembentukan sekumpulan pencipta nilai. Semua ini bermula dari sebuah unit ekonomi dan ia akan dimulakan daripada anda semua yang hadir pada hari ini.
“Tanpa elemen-eleman yang saya sebutkan sebentar tadi, program ini tidak akan dapat direalisasikan dan program intervensi seperti inilah yang kita perlukan bagi merealisasikan impian melahirkan bakat-bakat terbaik dalam bidang keusahawanan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Yayasan Peneraju Exchange (YPX) Sarawak Chapter 2024 di TEGAS Digital Village, Kuching pada Isnin.
YPX Sarawak Chapter 2024 disertai lebih 100 peserta yang terdiri daripada usahawan muda, pemimpin, pengasas syarikat pemula dan pemilik perniagaan Bumiputera dalam lingkungan usia 20 hingga 45 tahun.
Program itu yang dianjurkan bersama Yayasan Peneraju dan kerajaan Sarawak menerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Digital Village bermatlamat untuk memperkasakan serta meningkatkan daya saing ekonomi usahawan Bumiputeradi Sarawak bermula hari ini hingga 19 November nanti.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang dan Ketua Pegawai Sumber Manusia MBSB Bank Berhad (MBSB Bank), Mohd Farid Shah Mohd Basir.-TVS