KUCHING, 18 Nov: Jawatankuasa Pengiktirafan Sebagai Bumiputera Sarawak meluluskan sebanyak 3,329 permohonan sebagai Bumiputera setakat 31 Oktober tahun ini.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai berkata, permohonan yang diluluskan itu melibatkan 3,498 permohonanditerima dan dipertimbangkan jawatankuasa tersebut.
“Dalam pada itu, 141 permohonan dalam proses semakan semula dan 28 permohonan tidak diluluskan kerana tidak memenuhi syarat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak hari ini.
Menurutnya, permohonan menerusi Sistem Aplikasi Pengiktirafan Anak Negeri Sarawak yang dibangunkan dan mula digunakan pada 2 September 2024 turut mendapat sambutan baik daripada pengguna.
“Sebanyak 370 permohonan dibuat melalui aplikasi tersebut bagi membolehkan pemohon membuat permohonan untuk diiktiraf sebagai Bumiputera Sarawak secara atas talian melalui portal Kerajaan Sarawak.
“Sistem ini terbukti bukan sahaja untuk memudahkan permohonan tetapi juga pengurusan permohonan pengiktirafan sebagai bumiputera,” ujarnya.
Beliau menambah, antara syarat untuk seseorang individu boleh diiktiraf sebagai Bumiputera Sarawak adalah pemohon mestilah terdiri daripada warganegara Malaysia.
“Selain itu pemohon merupakan anak kandung yang lahir daripada (ibu bapa) Bumiputera atau salah seorang ibu bapa kandung pemohon mestilah Bumiputera Sarawak,” jelasnya.-TVS