KUCHING, 18 Nov: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menzahirkan penghargaan atas sumbangan semua penjawat awam yang membantu mengukuhkan pembangunan ekonomi negeri.
Beliau turut berkata pertumbuhan ekonomi Sarawak terus meningkat dengan kejayaan yang dicapai.
“Bagi pihak kerajaan, saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sumbangan yang besar kepada kemajuan masyarakat. Hubungan erat antara kerajaan dan rakyat adalah asas yang kita bina bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Cenderamata Kepada Pesara di Majlis Sekalung Budi Perkhidmatan Awam Sarawak 2024 di Dewan Santapan DUN pada Isnin.
Menurutnya, Sarawak mencapai peningkatan yang signifikan dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
“Kami berjaya meningkatkan KDNK daripada RM140 juta kepada RM280 juta. Ini adalah usaha penting untuk memastikan ekonomi kita terus berkembang. Dengan strategi baharu dalam menjana tenaga ekonomi dan meningkatkan keuntungan, kita mampu membawa kesan berlipat ganda kepada ekonomi negeri,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan Sarawak mencatatkan kutipan hasil rekod sebanyak RM40 bilion, satu pencapaian yang mencerminkan kekuatan ekonomi negeri.
“Setakat ini, kita telah mencapai kutipan hasil sebanyak RM30.41 bilion. Walaupun terdapat cabaran, kita terus melangkah maju. Ekonomi kita kukuh dan terus berkembang,” jelasnya.
Premier turut merakamkan penghargaan kepada penjawat awam yang bersara atas dedikasi mereka selama ini.
“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang memberikan perkhidmatan terbaik dan selamat bersara. Saya yakin anda akan terus menyumbang dalam kapasiti lain,” kata Abang Johari. – TVS