KUCHING, 18 Nov: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) komited untuk melaksanakan pengambilan khas guru melalui kerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Kementerian Pendidikan (KPM), dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).
Menterinya Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, usaha ini bertujuan mengisi 1,733 kekosongan jawatan guru di seluruh Sarawak.
“Latihan pengambilan (guru) di seluruh negeri telah menarik minat yang kuat dengan lebih 15,000 orang pemohon.
“Seramai 2,010 calon berpotensi telah disenarai pendek untuk temu duga akhir, yang diadakan di Kuching, Sibu, dan Miri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Jelas Roland lagi, sejak 2017, Sarawak telah menghadapi kekurangan seramai 2,000 hingga 3,000 guru setiap tahun.
“Saya telah menyampaikan kepada SPP komitmen kami untuk mengutamakan calon Sarawak, untuk memastikan kesinambungan dan kelestarian.
“Sehubungan itu, kami berharap penempatan guru di bawah Pengambilan Guru Khas Sarawak ini akan dimuktamadkan sebelum penghujung tahun 2024,” ujarnya.
Roland menambah, melalui inisiatif ini, pihaknya menyasarkan untuk menamatkan kekurangan guru di Sarawak, memastikan setiap kanak-kanak, khususnya di kawasan luar bandar, mempunyai akses yang konsisten kepada pendidikan berkualiti. – TVS