TASEK GELUGOR, 17 Nov: Suspek lelaki warga asing yang mengorek bebola mata seorang lelaki sehingga terkeluar dalam pergaduhan berdekatan sebuah flat di Jalan Ara Kuda di sini semalam, telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner (ACP) Anuar Abdul Rahman berkata, perintah reman bermula hari ini sehingga 20 November ini tersebut dikeluarkan di Mahkamah Majistret Butterworth dekat sini.
“Suspek yang merupakan warga asing sebelum itu berjaya ditahan oleh Cawangan Pencegahan Jenayah, Balai Polis Tasek Gelugor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Anuar, pihaknya ketika ini belum dapat mengambil keterangan daripada mangsa memandangkan dia sedang menjalani pembedahan mata di Hospital Pulau Pinang di George Town dekat sini.
Sementara itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan (ASP) Norhaslinda Rahmat di talian 04-576 2222 (sambungan 224) atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, media melaporkan, seorang lelaki berusia 52 tahun kehilangan bebola mata sebelah kiri selepas seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun bertindak mengorek matanya dalam satu pergaduhan di tepi jalan.
Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu berlaku semasa mangsa yang dipercayai sedang mabuk telah mengganggu suspek sebelum dia mengorek bebola mata mangsa sehingga tertanggal. – TVS