LAWAS, 17 Nov: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Ba’kelalan menyifatkan cadangan Belanjawan Sarawak 2025 sangat komprehensif dan tidak meminggirkan keperluan belia.
Ketuanya, Steve Lius berkata, beberapa inisiatif dalam belanjawan itu memberi manfaat besar kepada seluruh rakyat Sarawak termasuk belia.
“Sebelum ini kita sama-sama mengikuti pembentangan Belanjawan Sarawak 2025 oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Yang Di Pertua PBB.
“Apa yang dibentangkan kali ini merupakan belanjawan terbesar dan terbaik dalam sejarah Sarawak dan perlu disokong sepenuhnya oleh sayap Pemuda terutama di Ba’kelalan, ” katanya pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda Parti PBB Cawangan Ba’kelalan di Lawas hari ini.
Menurutnya, inisiatif yang diumumkan Premier pada belanjawan lalu merupakan satu cara untuk memperkasa rakyat di peringkat akar umbi yang setiap tahun berdepan tekanan ekonomi.
“Justeru itu, rakyat Sarawak harus bergerak bersama menyokong tanpa berbelah bahagi kepada kepimpinan Premier Sarawak dan barisan kabinet,” ujarnya.
Menurutnya, Pergerakan Pemuda PBB Ba’kelalan dan seluruh Sarawak sentiasa bersedia bergerak dibarisan hadapan mengempur lawan.
Terdahulu, Steve mengekalkan jawatan selaku ketua pergerakan berkenaan untuk sesi 2024 hingg 2027.
Pergerakan Pemuda Parti PBB Cawangan Ba’kelalan melibatkan 19 ranting Pemuda PBB.-TVS.