MIRI, 17 Nov: Pesta Gelimeh Berawan Sarawak 2024 menjadi pentas menyatukan komuniti Berawan dari Miri, Mulu dan Marudi.
Ia mempamerkan keunikan budaya masyarakat Berawan menerusi aktiviti kebudayaan dan kesenian tradisional.
Pesta tahunan dianjurkan dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
Majlis perasmian pesta tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr. Penguang Manggil di Rumah Panjang Long Jejan, Baram semalam.
Menurut Penguang, adalah penting untuk Sarawak mengutamakan semua kaum dalam arus pembangunan.
“Kita membawa semua kaum dalam arus pembangunan utama supaya tiada bangsa atau etnik yang tertinggal.” katanya.
Pada masa sama, beliau mencadangkan agar Pesta Gelimeh Berawan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri bagi menarik lebih ramai pengunjung pada masa akan datang.
Menurutnya, beberapa projek pembangunan infrastruktur turut diberi perhatian di kawasan tersebut termasuk pembinaan jalan baharu dari Lapok ke Long Pran Batu dan projek naik taraf kemudahan bekalan air di Tinjar.-TVS