Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto hiasan. Foto Envato

Pakar media gesa etika kewartawanan lebih baik susulan peningkatan kecekapan berasaskan AI

ByBernama

SEOUL, 16 Nov: Seiring dengan peningkatan ketara penggunaan Alat Kecerdasan Buatan (AI) dalam penghasilan laporan kewartawanan yang mampu memproses sejumlah besar data dengan pantas, pemain industri media menyeru agar integriti dan akauntabiliti kewartawanan yang lebih kukuh dengan memberi amaran terhadap risiko penyebaran maklumat palsu.

Bercakap mengenai dua aspek AI, Kurator Yayasan Nieman untuk Kewartawanan Universiti Harvard, Anne Marie Lipinski meluahkan kebimbangan terhadap penyebaran “deepfake”, terutamanya kesannya terhadap wacana politik dan kepercayaan awam.

Semasa sesi pembentangannya pada hari terakhir Persidangan Kewartawanan Korea Press Foundation (KPF) 2024 pada Jumaat, beliau menekankan keperluan penting bagi wartawan untuk memahami dan memanfaatkan teknologi ini secara berkesan sambil mengekalkan piawaian etika yang ketat dan ketelusan.

Lipinski memetik contoh daripada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang lalu, ketika video deepfake Timbalan Presiden Kamala Harris dan imej yang dimanipulasi bekas Presiden Donald Trump tersebar luas, menyebarkan maklumat palsu.

“Walaupun ada usaha untuk memeriksa fakta dan mendedahkan kebohongan dilakukan, ramai yang terus mempercayai dan berkongsi video-video ini,” katanya, menyoroti jurang yang semakin berkembang antara maklumat yang disahkan dan persepsi awam.

Lipinski menggesa bilik berita agar menetapkan garis panduan etika dalam penggunaan AI, memastikan teknologi ini digunakan untuk mempertingkatkan, bukan merosakkan integriti kewartawanan.

Dalam pembentangannya, beliau turut menyentuh kejayaan penggunaan AI dalam kewartawanan, seperti langkah The New York Times yang menggunakan AI untuk menganalisis lebih 400 jam rakaman pertemuan antara kumpulan berhaluan kanan, yang mendedahkan percubaan campur tangan dalam Pilihan Raya Presiden AS.

Begitu juga, The Washington Post membangunkan alat bernama “Paystacker” untuk mengenal pasti iklan politik yang mengelirukan, manakala di Filipina, wartawan Nieman Jaemark Tordecilla mereka bentuk GPT khas untuk menyaring laporan audit kerajaan bagi mengesan potensi rasuah, sekali gus menjimatkan masa penyelidikan dengan ketara.

“AI menawarkan peluang menarik untuk kewartawanan, namun amat penting untuk kita mendekati alat ini dengan semangat dan berhati-hati.

“Cabaran utama adalah untuk memanfaatkan kemampuan AI bagi mengekalkan nilai-nilai asas kewartawanan: ketepatan, akauntabiliti, dan hak orang ramai untuk mengetahui,” katanya.

Sementara itu, dalam sesi pembentangan lain, Pengarah Eksekutif Aspen Institute Vivian Schiller menekankan keperluan mendesak bagi perkhidmatan media yang lebih baik kepada pelanggan mereka bagi memastikan kelangsungan dan membina kepercayaan.

Beliau menegaskan bahawa tanpa fokus ini, model perniagaan baharu yang menjanjikan dan peluang-peluang baharu dalam sektor media gagal berkembang.

Beliau memberi contoh Pilihan Raya Presiden 2016, ketika media gagal meramal kemenangan besar Donald Trump akibat kelemahan dalam tinjauan dan jurang yang semakin meluas antara media arus perdana dan masyarakat Amerika.

“Laporan sebahagian besar media nasional berat sebelah,” jelasnya, bukan memihak kepada calon tertentu, tetapi dalam mempromosikan pandangan dunia yang mungkin tidak selari dengan kehendak umum.

Schiller turut menekankan dua isu utama yang melanda media iaitu kekurangan hubungan dengan pelbagai penonton dan nilai kebenaran yang semakin berkurangan dalam laporan.

Menurutnya, ramai orang didorong oleh perasaan dan prasangka yang sering menenggelamkan laporan berasaskan fakta.

Fenomena ini menimbulkan persoalan sama ada kewartawanan masih mempunyai nilai di mata orang ramai.

Beliau juga membincangkan peranan AI dalam kewartawanan, menyeru penggunaannya secara bertanggungjawab.

Dalam pembentangannya, beliau memberikan contoh inisiatif berasaskan AI yang meningkatkan laporan dan penglibatan orang ramai, seperti cadangan kandungan peribadi oleh Times of India dan ringkasan berita berasaskan AI oleh Norwegian Broadcasting Corporation (NRK).

Beliau berkata bahawa inovasi ini menawarkan instrumen yang berharga bagi bilik berita untuk menyesuaikan diri dan berkembang dalam era digital. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan