KUCHING, 16 Nov: Sarawak berada pada kedudukan terbaik untuk mendapat manfaat daripada peralihan global dengan menggunakan hidrogen sebagai bahan api utama.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia berlandaskan kerangka undang-undang sedia ada untuk menguruskan alam sekitar dengan mengomtimumkan nilai ekonomi sumber semulajadi.
Menurutnya, peralihan dunia menunjukkan kemajuan signifikan dalam usaha mengurangkan pengeluaran karbon dan menangani perubahan iklim menerusi penyelidikan serta teknologi yang menjadikan hidrogen sebagai sumber tenaga pada masa akan datang.
“Penyelidikan sedang dijalankan untuk mengurangkan kos pengeluaran hidrogen dan saya rasa dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang hidrogen akan menjadi bahan api utama. Sebab itu kita perlu menempatkan diri lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Sarawak Forestry Corporation (SFC) di sini, malam tadi.
Menurutnya, Rang Undang-Undang Sumber Asli dan Alam Sekitar yang diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini akan memperluaskan kuasa Sarawak dalam menguruskan alam sekitar dan sumber semula jadi secara mampan.
“Sekarang kita mempunyai mandat untuk menguruskan alam sekitar dan rang undang-undang ini telah diluluskan. Ia bermaksud 100 peratus alam sekitar berada di bawah bidang kuasa negeri.
“Selepas tugas ini diberikan, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakan semua agenda pembangunan dalam rangka kerja berlandaskan piawaian alam sekitar,” ujarnya.
Abang Johari menjelaskan, perkembangan teknologi turut menyaksikan mikroelektrolisis menghasilkan hidrogen daripada air yang diintegerasikan ke dalam enjin kenderaan yang akhirnya dapat menjadikan hidrogen lebih mudah diakses dan mampu dimiliki.
“Jika teknologi mikroelektrolisis ini berjaya, orang ramai tidak lagi akan pergi ke stesen minyak untuk membeli petrol sebaliknya membeli air (sebagai sumber hidrogen). Ini akan mengubah keseluruhan industri kenderaan dan pengangkutan awam,” jelasnya.
Tambahnya, impian Sarawak untuk menjadi kuasa dalam pengeluaran hidrogen berkait rapat dengan usaha SFC dalam memacu kelestarian dan pengurusan alam sekitar melalui perlindungan hutan negeri.
“Peranan SFC menjadi lebih penting kerana hutan yang dilindungi dapat membantu Sarawak menjadi negeri hijau dan maju,” kata Abang Johari.-TVS