KUCHING, 16 Nov: Sarawak terus bergerak ke arah pembangunan bandar lestari dengan mengutamakan pengurusan kawasan hijau dan perlindungan alam sekitar.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak komited untuk memastikan pengurusan alam sekitar yang mampan di kawasan bandar.
Menurutnya, untuk mencapai matlamat tersebut, Kerajaan Sarawak akan berusaha meningkatkan habitat ekologi dan mencipta lebih banyak ruang alam semula jadi di bandar.
“Kita ingin membangunkan bandar lestari, jadi kawasan perlindungan alam semula jadi di bandar harus diuruskan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Tahunan Sarawak Forestry Corporation (SFC) di sini, malam tadi.
Menurutnya, Bukit Lima di Sibu, Piasau dan Stutong merupakan contoh kawasan yang akan dipelihara untuk memastikan ia mempunyai ruang hijau untuk kesinambungan ekologi.
“Kita mahu memastikan kawasan ini dibangunkan menjadi bandar pintar yang berteraskan kelestarian alam sekitar,” ujarnya.
Malah beliau berkata, Rang Undang-Undang Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 yang diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu ini menyaksikan Sarawak akan mempunyai perundangan sendiri berkaitan pemuliharaan sumber, pengurusan alam sekitar, kawalan pencemaran dan pembangunan mampan.
“Apabila tugas ini diberikan kepada Sarawak, kita akan memastikan setiap rancangan pembangunan mematuhi piawaian alam sekitar antarabangsa dan memenuhi keperluan global,” jelasnya.
Sementara itu, Abang Johari turut menghargai sumbangan SFC yang berusaha untuk memastikan Gua Niah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Majlis sama menyaksikan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh menyerahkan Sijil Pendaftaran Tapak Warisan Dunia UNESCO kepada Abang Johari.
Pada 27 Julai lepas di New Delhi, India, Gua Niah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Ia merupakan pengiktirafan kedua untuk Sarawak selepas Taman Negara Gunung Mulu dan merupakan pencapaian membanggakan.-TVS