KUCHING, 23 Ogos: Pengurangan kelahiran bayi di Sarawak semakin membimbangkan apabila kadar kelahiran bayi menunjukkan kemerosotan sebanyak 50 peratus pada tahun ini berbanding tahun 2020.
Kemerosotan ini melahirkan kebimbangan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) memandangkan Sarawak menyasarkan untuk menjadi negeri termaju menjelang 2030 tetapi populasi Sarawak pula menunjukkan penurunan.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata statistik dari Januari hingga Julai tahun ini menunjukkan kemerosotan mendadak dengan hanya seramai 13,267 kelahiran direkodkan bagi tahun ini.
“Berbeza dengan tahun 2020, dalam tempoh yang sama (Jan-Jul 2020), sebanyak 26,298 kelahiran warganegara direkodkan,” katanya.
Tambahnya lagi, tren kelahiran warganegara Sarawak terus menunjukkan penurunan.
“Pada tahun 2019, Sarawak merekodkan 33,304 kelahiran baharu manakala 31,176 pada tahun 2020.
“Namun, setakat 31 Julai 2021, hanya 13,031 kelahiran direkodkan.
“Ini menjadi masalah kerana kita mungkin akan menjadi negeri tertua jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain. Populasi warga emas di Sarawak adalah lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat KWKPK bersama Jabatan Pendaftaran Negeri Sarawak dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) Sarawak, pada Isnin.
Statistik kelahiran yang didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order) akibat pandemik Covid-19 tidak menyumbang kepada “baby boom” di Sarawak.
Dalam perkembangan sama, Fatimah turut memberitahu jumlah kematian yang berdaftar di bawah JPN menunjukkan peningkatan.
Bagi tempoh Mei 2020 sehingga April 2021, terdapat peningkatan sebanyak 14,505 berbanding 13,005 kematian pada tempoh sama tahun 2020.
Untuk tempoh itu juga, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak melaporkan 178 kematian akibat jangkitan Covid-19, bersamaan dengan 1.2% dari jumlah kematian yang didaftarkan di bawah JPN Sarawak.