PUTRAJAYA, 15 Nov: Kerajaan akan menggunakan pendekatan diplomatik bagi menyelesaikan isu pelanggaran maritim Sabah oleh Filipina.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, sebarang tindakan perlu dirujuk Wisma Putra namun perkara itu tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini.
“Prinsip yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan adalah bersandarkan kepada semangat ASEAN dalam menyelesaikan sebarang pemasalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang mingguan Kerajaan Perpaduan di sini hari ini.
Fahmi mengulas Akta Zon Maritim dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina ditandatangani Presiden Ferdinand Marcos Jr pada awal bulan ini yang dipercayai telah melangkaui Peta Baharu Malaysia 1979.
Dalam pada itu, menjawab soalan sama ada Perdana Menteri akan memendekkan lawatan kerja ke luar negara bagi menjawab dakwaan skandal rasuah membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Fahmi berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian.
“Sekiranya beliau perlu jawab isu ini, ia boleh dijawab di mana – mana sahaja. Beliau telah bayangkan bahawa untuk memohon perlindungan secara menyeluruh itu tidak mungkin, ia perlu mengikut proses dan berlandaskan undang-undang.
“Kita mohon pemberi maklumat ini untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” jelasnya. – TVS