PUTRAJAYA, 14 Nov: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang disyaki menjual video lucah di platform media sosial X.
Menurut kenyataan MCMC, pelajar lelaki tersebut telah dipanggil untuk memberi keterangan selepas kegiatan itu terbongkar hasil pemantauan dan risikan susulan aduan orang awam.
“Hasil siasatan awal mendapati, suspek yang berusia 20-an itu mula memuat naik kandungan lucah sejak 2021, bermula dengan berkongsi semula video lucah yang dimuat naik oleh pengguna lain.
“Modus operandi suspek kemudiannya berubah kepada memuat naik dan menjual video lucah adegan sendiri bersama wanita yang dikenali, sehingga memperoleh sehingga lebih 100,000 pengikut di platform X,” kata kenyataan itu.
Suspek menjadikan penjualan video lucah sebagaisumber pendapatan dan hasil pendapatan bulanannya mencecah sehingga RM3,000 dengan anggaran harga sehingga RM150 bagi setiap satu video.
MCMC turut menjalankan serbuan di sebuah lokasi di Shah Alam yakni telefon bimbit dan kad SIM yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk aktiviti tersebut dirampas sebagai bahan bukti.
Selain itu, keterangan juga diambil daripada seorang rakan wanita suspek yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi swasta.
MCMC menegaskan bahawa penjualan video lucah adalah satu kesalahan serius di bawah Seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda maksimum RM50,000, penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai disarankan untuk melaporkan sebarang aktiviti penyebaran atau penjualan kandungan lucah di media sosial kepada MCMC bagi tindakan lanjut,” kata kenyataan itu.