KUCHING, 14 Nov: Had kelayakan bantuan kewangan bagi keluarga golongan berpendapatan rendah dengan pendapatan per kapita tidak melebihi RM1,500 wajar dinaikkan kepada RM1,700.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kenaikan kadar gaji minimun kepada RM1,700 berkuat kuasa 1 Februari 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini akan mempengaruhi had kelayakan sedia ada.
“Untuk insiatif bantuan wang saku dan komputer riba percuma, had kelayakan bantuan bagi individu daripada isi rumah dengan pendapatan per kapita tidak melebihi RM1,500 adalah tidak wajar memandangkan Kerajaan Persekutuan akan menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 tahun hadapan.
“Hal ini mungkin menyebabkan berlakunya kes individu tidak layak untuk menerima bantuan ini,” katanya pada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada Selasa berkata Kerajaan Sarawak turut melaksanakan kadar gaji minimum RM1,700 kepada pekerja sektor swasta di Sarawak selaras dengan pengumuman Perdana Menteri.
Justeru, beliau berharap had kelayakan tersebut dikaji semula dan diselaraskan sekali gus meliputi pelajar daripada golongan M40.
“Saya berharap agar had kelayakan dapat dipertimbangkan semula dengan melayakkan pelajar daripada golongan M40 atau lebih baik jika diberikan kepada semua terutama apabila pendapatan Sarawak semakin meningkat setiap tahun,” ujarnya. – TVS