SERIAN: Perusahaan udang krai dilihat sangat berpotensi lebih-lebih lagi apabila mendapat permintaan tinggi dalam pasaran termasuk daripada luar negara, menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Ketika lawatannya ke tapak projek penternakan udang krai Tian Yen Enterprise di sini, Uggah berkata, projek perintis yang dikendalikan syarikat berkenaan telahpun berjaya mengeluarkan udang krai yang sedia dipasarkan dengan berat 600 gram seekor.
Beliau turut berharap akan ada lebih ramai pengusaha berminat untuk mengusahakan perusahaan udang krai di negeri ini.
“Kita berharap beberapa petani ini akan berminat mengusahakan projek ini. Mereka boleh belajar daripada syarikat ini,” katanya yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan Tian Yen Enterprise Tom Pooh Siang Sung berkata, syarikatnya merancang untuk memperluaskan pasarannya sehingga ke Singapura, Jepun, China dan Kemboja.
Namun katanya, pengeluaran udang krai memerlukan masa antara lima hingga enam bulan untuk menghasilkan saiz yang boleh dipasarkan.
Justeru, proses untuk memperluaskan pasaran akan dilakukan secara berperingkat.
Bagaimanapun, di peringkat tempatan, katanya, Tian Yen Enterprise menyasarkan pengeluaran bermula Disember kelak.