KUCHING, 14 Nov: Pembangunan infrastruktur sukan di Kapit berjalan lancar dengan penyusunan dokumen tender bagi Stadium Tertutup Kapit kini di peringkat akhir.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu berkata, kerja penyelenggaraan dijangka bermula Januari 2025 dengan tempoh siap selama lapan bulan.
“Manakala proses tender bagi projek kolam renang Kapit pula masih berlangsung dan akan ditutup pada 20 November ini. Kerja penyelenggaraan kolam renang dijadualkan bermula Disember ini dan akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang mengenai perkembangan baik pulih stadium tertutup dan kolam renang Kapit pada Persidangan Dewan Undanan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan mengenai inisiatif pembangunan belia, Gerald berkata, kementeriannya komited membangunkan belia melalui strategi khas berdasarkan teras 7K iaitu kepimpinan, kesukanan, keusahawanan, kreativiti, kebudayaan, kesukarelawan dan kerohanian.
“Program seperti Youth Got Skills, Youth Entrepreneur Setup (YES), Program Futurizing Youth: AI Initiative, Sarawak X-Tive, MYSED Go Rural, Program Integrasi Belia Sarawak, MYSED Go University turut dilancarkan untuk membangunkan bakat dan kemahiran belia Sarawak,” ujarnya.
Menurutnya, kementeriannya juga bersedia untuk bekerjasama dengan wakil rakyat bagi memastikan program dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya pada masa hadapan. – TVS