JAKARTA, 13 Nov: Seramai 120 rakyat Malaysia yang berada di Labuan Bajo melaporkan kehadiran mereka di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di sini.
Kesemua mereka difahamkan terjejas akibat letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki di Flores Timur, Nusa Tenggara Timur yang menyebabkan ruang udara ditutup dan penggantungan semua operasi penerbangan di sana.
Daripada jumlah berkenaan, sejumlah 53 orang telah meninggalkan Labuan Bajo dengan menggunakan pengangkutan alternatif melalui laut ke beberapa wilayah yang tidak terjejas.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata, kepulan asap dan abu letusan gunung berapi itu turut menyebabkan beberapa penerbangan ke destinasi pelancongan seperti Lombok, dan Bali dibatalkan.
“Difahamkan selepas ruang udara ditutup, beberapa laluan alternatif seperti di Lombok dan Bali kini dibatalkan penerbangannya sehingga semakin ramai yang terjejas termasuk rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau menegaskan pihaknya terus berhubung dengan rakyat Malaysia yang masih terkandas bagi memberi bantuan konsular yang diperlukan bagi memastikan keselamatan mereka.
Bukan itu sahaja, Syed turut memastikan pihaknya terus berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia dan bersedia memantau perkembangan sambil menyediakan rancangan mengawal semua rakyat Malaysia kembali ke tempat selamat.
Selain itu beliau turut meminta rakyat Malaysia yang terjejas mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan, merancang perjalanan alternatif dan mengemas kini status penerbangan dari semasa ke semasa. -TVS