KUCHING, 23 Ogos: Seramai 14 orang gelandangan di daerah Kuching telah disuntik vaksin COVID-19 jenis Sinovac, semalam.
Antara pendekatan yang digunakan pihak Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) untuk menjayakan misi ini pada malam tadi adalah dengan beroperasi secara bergerak di mana pasukan bersepadu program itu akan melakukan vaksinasi pelali berkenaan di lokasi gelandangan itu sendiri.
Menteri KWKPK, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pihaknya terlebih dahulu bertindak mengenalpasti lokasi mereka dan terus melakukan sesi suntikan selepas mendapatkan kebenaran dari gelandangan itu sendiri.

Katanya, usaha vaksinasi komuniti gelandangan di Kuching bermula pada 5 Ogos yang lepas dengan lima orang gelandangan dibawa ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Tertutup.
Beliau berkata demikian pada sidang media dalam operasi vaksinasi gelandangan di Sarawak bagi bahagian Kuching, pada Ahad.
Setakat ini, seramai 17 orang gelandangan di sekitar Kuching telah mendapat dos pertama suntikan vaksin COVID-19 setakat 20 Ogos 2021.
Menurut Fatimah lagi, KWKPK telah mewujudkan beberapa inisiatif bagi memastikan kejayaan program berkenaan.
Antaranya, menempatkan gelandangan di Pusat Penempatan Sementara Gelandangan sehingga lengkap dos kedua, membawa gelandangan ke PPV, dan melakukan vaksinasi secara bergerak ke lokasi gelandangan yang dikenalpasti.

