KUCHING, 13 Nov: Kerajaan Sarawak telah mengenal pasti beberapa langkah dalam memastikan pembangunan kawasan perumahan yang terancang dan stabil untuk jangka masa panjang dari segi kesesakan trafik, bekalan elektrik dan tekanan bekalan air.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Len Talif Salleh berkata ia termasuk menyediakan pelan tempatan yang akan dibuat secara komprehensif bagi bandar-bandar utama di Sarawak.
“Pelan tempatan Samarahan digunakan sebagai asas rujukan dan panduan dalam mengawal pembangunan tanah yang merangkumi jaringan jalan raya, utiliti dan lain-lain.
“Membangunkan sistem pengangkutan awam yang efisien seperti Kuching Urban Transportation System (KUTS) yang masih dalam peringkat pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi pertanyaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Ujar beliau, Kerajaan Sarawak kini juga dalam proses penyediaan Garis Panduan Pembangunan Mampan yang merangkumi konsep Bandar Pintar, Bandar Selamat dan Bandar Rendah Karbon dalam memastikan pembangunan yang komprehensif dan berdaya tahan.
Mengulas lanjut Len Talif berkata, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi turut merancang dua pelan induk untuk memastikan bekalan air dan elektrik yang mampan.
“Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak yang bertujuan untuk memperluas liputan bekalan air dan meningkatkan kecekapan pengurusan air mentah dan terawat dengan pendekatan holistik, meliputi perancangan jangka pendek dan panjang sehingga 2070.
“Pelan kedua ialah Pelan Induk Bekalan Elektrik Sarawak yang merangkumi perancangan untuk penjanaan, penghantaran, pengagihan dan pembangunan bekalan elektrik luar bandar demi kestabilan bekalan elektrik dalam tempoh 10 tahun,” katanya. – TVS