KUCHING, 13 Nov: Pelaksanaan gaji minimun RM1,700 semasa pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terpakai untuk penjawat awam Sarawak, kata Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) itu berkata, pelaksanaan gaji minimum bagi penjawat awam Sarawak adalah tertakluk kepada surat pekeliling daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Namun, Kerajaan Sarawak turut melaksanakan kadar gaji minimum RM1,700 kepada pekerja sektor swasta di Sarawak selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Bagi penjawat awam Sarawak, Kerajaan Sarawak telah bersetuju menerima pakai secara prinsip pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) melalui Pekeliling Perjawatan Negeri Sarawak Bilangan 15 Tahun 2024 yang dikeluarkan pada 15 Oktober 2024,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor mengenai penyelarasan pelaksaan gaji minimum di Sarawak.
Sharifah Haseedah turut berkata, pelaksanaan gaji minimum di Sarawak adalah terpakai kepada semua pekerja termasuk pekerja bukan warganegara di sektor swasta kecuali pekerja domestik dan kontrak perantisan (apprenticeship).
Pada 18 Oktober lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan semasa pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat mengumumkan pelaksanaan gaji minimum di seluruh negara dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan mulai 1 Februari 2025.
Kata Anwar, majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja diberi enam bulan tempoh penangguhan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 iaitu bermula 1 Ogos 2025. – TVS