Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Empat lelaki warga Vietnam yang disyaki terbabit dalam 44 kes pecah rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang, maut dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah residensi di Jalan Imbi. Foto hiasan Envato

Op Tebuk: Polis tembak mati empat penjenayah warga asing

ByBernama

KUALA LUMPUR, 13 Nov: Empat lelaki warga Vietnam yang disyaki terbabit dalam 44 kes pecah rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang, maut dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah residensi di Jalan Imbi, di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata dalam kejadian 11.30 malam tadi menerusi OpTebuk, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Kuala Lumpur telah menyerbu sebuah unit kediaman di tingkat 17 residensi terbabit sebelum suspek melepaskan tembakan ke arah polis.

“Bagi mempertahankan diri dalam usaha meneruskan tindakan (tangkapan), berlaku kejadian berbalas tembakan sehingga polis menumpaskan (tembak mati) empat lelaki terbabit,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian tengah malam tadi.

Rusdi berkata pemeriksaan mendapati suspek bersenjatakan dua parang dan dua pistol yang disyaki digunakan untuk menyerang anggota polis.

Beliau berkata siasatan mendapati empat lelaki terbabit disyaki terlibat dalam 44 kes tebuk peti besi membabitkan 28 kes di Kuala Lumpur dan 16 kes di Selangor sejak 2018 yang melibatkan kerugian RM4.3 juta.

Suspek katanya, menyasarkan pejabat dan kediaman yang tidak berpenghuni sebelum menebuk peti besi di dalam premis berkenaan dan melakukan jenayah itu pada waktu malam.

“Mereka (suspek) dilaporkan melakukan jenayah sama dua hari lepas di Sri Hartamas sebelum menyembunyikan diri di lokasi yang kita serbu. Kita percaya mereka ini menjadikan unit kediaman mewah di sini sebagai tempat merancang jenayah, berehat dan menyembunyikan diri,” katanya.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata kesemua suspek mempunyai pasport dan sering keluar masuk negara ini.

Katanya, polis meneruskan siasatan bagi mengesan individu yang mempunyai kaitan dengan empat lelaki terbabit.

Beliau berkata mayat kesemua suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan