KUCHING, 12 Nov: Kejayaan Para SUKMA bukan hanya dibuahkan oleh prestasi atlet di gelanggang namun ia hasil komitmen semua pihak yang terlibat, termasuk mereka di belakang tadbir, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk para sukarelawan serta pengamal media di Majlis Malam Apresiasi Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam ini.
“Saya ingin meluangkan sedikit waktu untuk memberikan penghargaan khas kepada semua penjawat awam, Persekutuan dan Sarawak, yang terlibat dalam menjayakan Para SUKMA.
“Kerjasama antara agensi kerajaan dalam aspek perancangan, logistik, keselamatan, dan penyediaan kemudahan adalah faktor utama kejayaan acara ini,” katanya.
Beliau turut mengiktiraf usaha gigih para sukarelawan, petugas di belakang tadbir, dan warga media disifatkan sebagai tulang belakang kejohanan tersebut.
Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan serta Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak itu dedikasi dan komitmen mereka adalah asas kepada kelancaran serta kejayaan Para SUKMA kali ini.
“Kejayaan Para SUKMA bukan hanya tentang prestasi atlet di gelanggang, tetapi juga hasil komitmen semua pihak yang terlibat, termasuk mereka yang bekerja tanpa dikenali.
“Setiap usaha anda telah mencipta suasana yang profesional dan mesra, memastikan atlet serta pengunjung merasa dihargai,” tambahnya.
Awang Tengah turut menyampaikan penghargaan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, yang memainkan peranan penting sebagai Menteri Bertanggungjawab Para SUKMA XXI, serta Ketua Kontinjen Sarawak, Datuk Mohd Razi Sitam, dan Ketua Pengawai Eksekutif Para SUKMA, Datu Hii Chang Kee, atas kejayaan menjadikan Sarawak sebagai juara keseluruhan.
Edisi kali ini menyaksikan kontinjen Sarawak merampas kembali status juara keseluruhan Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) daripada Sabah.
Sarawak mengesahkan kejuaraan apabila merangkul 82 emas, 51 perak dan 72 gangsa. – TVS