KUALA LUMPUR: Ucapan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada petang ini menarik perhatian apabila beliau menyeru ke arah penyatuan dalam kalangan ahli politik dari berbeza parti dengan memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia.
Menerusi ucapan yang disiarkan secara langsung itu, Ismail Sabri berkata, semua pihak berlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita yang dirujuk beliau sebagai Keluarga Malaysia.
“ Saya menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau luar kerajaan, supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara. Marilah kita dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, beliau menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana ia bersifat lebih inklusif dan merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.
“Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri, sama ada anak muda mahupun yang telah berusia. Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan,” ujarnya.
Berhubung perkembangan COVID-19 yang kini terus membelenggu negara apabila kes jangkitan baharu masih mencatatkan jumlah yang tinggi, Perdana Menteri baharu itu turut mengumumkan pembelian tambahan sebanyak enam juta dos vaksin yang dijangka akan diterima menjelang awal bulan depan.
“Ini sebagai satu berita baik kepada semua bersempena Bulan Kemerdekaan ini serta akan mempercepatkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata , beliau akan memastikan setiap intervensi dan usaha pihak kerajaan untuk menurunkan kes COVID-19 dilakukan secara lebih komprehensif dan bakal dilaksanakan melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan penglibatan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil.
“ Sehubungan itu, saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah pun memberikan kerjasama penuh dalam pengambilan vaksin. Keupayaan memerangi pandemik secara berkesan memerlukan komitmen daripada semua Keluarga Malaysia,” katanya.
Sementara itu, ujar Ismail Sabri, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, agar semua pihak melupakan segala perbezaan demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat, beliau akan memulakan langkah kerjasama dengan pembangkang.
“Oleh itu, saya menawarkan ruang kepada mereka untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19,” katanya.
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.