KUCHING, 9 Nov: Setiap pelajar perlu memupuk minat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan dalam perkembangan ekonomi sekarang.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, bidang tersebut pada masa ini dan beberapa tahun akan datang memerlukan ramai tenaga pakar bagi menyokong pembangunan Sarawak.
Malah menurutnya, STEM turut menyediakan peluang kerjaya terutama dalam industri berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), analisis data dan kejuruteraan.
” STEM membantu pelajar mempelajari penyelesaian masalah yang kritikal, penting untuk menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim, kemajuan dalam perubatan dan keperluan tenaga lestari.
“Dengan lebih ramai pelajar yang memilih STEM, kita dapat membangun lebih ramai tenaga mahir tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap pakar asing, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Cakna Robotik ‘STEM Ke Arah Masa Depan’ di sini, hari ini.
Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, bidang sains merupakan pencetus kepada pembangunan Sarawak.
“Ia dibuktikan dengan pengenalan ekonomi digital sejak tujuh tahun lepas untuk memastikan Sarawak maju menjelang 2030,” ujarnya.
Menurutnya, ekonomi baharu Sarawak seperti industri hidrogen dalam pengangkutan, penjanaan tenaga hijau dan kajian aeroangkasa memerlukan ramai sainstis serta jurutera. -TVS