KUALA LUMPURs: Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dijangka akan menyampaikan pengumuman rasmi pertamanya pada petang ini, sehari selepas beliau mengangkat sumpah jawatan pada petang semalam.
Ismail Sabri, 61 tahun, memaklumkan perkara itu ketika beliau ditemui Bernama sebelum meninggalkan perkarangan Istana Negara selepas Majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Simpan Rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada petang semalam, Ismail Sabri turut dilihat mengadakan pertemuan dengan para pemimpin utama parti dalam Perikatan Nasional (PN) secara berasingan.
Menerusi kemaskini Facebook bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri dilihat mengunjungi kediaman Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu pada petang semalam.
Menurut Muhyiddin, beliau memberi sokongan penuh kepada penggantinya itu dan akan terus membantu Kerajaan PN menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat, khususnya dalam tempoh pemulihan negara.
“Saya juga mendoakan semoga beliau dapat menggalas amanah kepimpinan dengan sebaik mungkin dan mengemudi negara ke mercu kejayaan,” tulis Muhyiddin.
Sementara itu, Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, turut menerima kunjungan Perdana Menteri kesembilan itu di kediamannya di Putrajaya.
Beberapa pemimpin utama parti itu, termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, turut hadir.
Menerusi kemaskini Facebooknya, Abdul Hadi dilihat menyampaikan buku bertajuk ‘Islam dan Demokrasi’ kepada Ismail Sabri sebagai cenderahati.
Pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan dilihat dapat menyelesaikan kemelut politik negara yang bermula sejak beberapa minggu lalu dalam kerajaan PN yang menyaksikan Muhyiddin meletak jawatan selepas dipercayai hilang sokongan majoriti.
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.