Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Delegasi dari tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Indonesia yang hadir pada sidang media hari ini. Foto Febbright James (TVS)

Bermukun Se-Borneo pamer keunikan silang budaya tiga negara

ByFebbright James

KUCHING, 8 Nov: Bermukun Se-Borneo 2024 yang dianjur melibatkan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei berupaya menjadi platform untuk melestari dan memartabatkan silang budaya bagi negara serantau ini.

Pengarah bahagian Program Radio Jabatan Penyiaran Malaysia, Saifuzzaman Yusop berkata penganjuran ini merupakan usaha untuk memelihara seni budaya bermukun di rantau ini di samping menarik minat lebih ramai generasi muda.

“Menerusi bermukun ini, kita dapat melihat bagaimana silang budaya itu berlaku meskipun ketiga-tiga negara ini berbeza bahasa dan dialek namun sehaluan iaitu untuk memartabatkan budaya agar tidak lenyap ditelan zaman.

“Kita mahu mengekalkan (budaya) ini sebagai seni warisan turun-temurun pada masa hadapan. Antara keunikan yang kita dapat lihat menerusi (Bermukun Se-Borneo) ini ialah dari segi pakaian yang ditonjolkan ketiga-tiga negara yang menjadi lambang dan identiti Se-Borneo.

“Persembahan hiburan ini dapat memberi cita rasa dan juga kegemilangan tersendiri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas mengenai sambutan anak muda terhadap aktiviti bermukun ini, Saifuzzaman memaklumkan media memainkan peranan penting untuk menanam minat golongan tersebut untuk turut serta melestarikan budaya bermukun ini.

Sementara itu, Ketua Unit HarmoniFM Radio Televisyen Brunei (RTB), Noor Harwadah Ramle memaklumkan seni budaya bermukun kian mendapat perhatian dan disambut baik oleh generasi muda di negara tersebut.

“Saya akui budaya bermukun di Brunei semakin menarik minat dalam kalangan anak muda dan beberapa usaha seperti pertandingan, taklimat dan bengkel telah dilaksanakan untuk anak-anak di sekolah bagi mengesan potensi yang boleh ditengahkan sebagai penyambung legasi (bermukun).

“Golongan tua dan muda di Brunei berjalan seiring dalam mempertahankan budaya bermukun ini. Golongan tua memberikan pendedahan kepada yang muda manakala yang muda turut bersama-sama mempertahankan budaya bermukun ini,” katanya pada sidang media yang sama.

Dalam pada itu, Ketua Delegasi Radio Republik Indonesia, Diana Rusnawati berpendapat Bermukun Se-Borneo satu acara yang baik bagi mengajak golongan muda untuk turut serta melestarikan seni warisan budaya seumpama ini.

Persembahan bermukun yang disajikan semasa sidang media hari ini. Foto RTM

“Kita ajak anak-anak muda kita di negara masing-masing untuk turut serta melestarikan budaya ini sebab seperti yang kita sedia maklum zaman teknologi ini budaya-budaya luar sangat mudah masuk ke negara kita (masing-masing) dan mempengaruhi anak muda kita.

“Melalui program ini kita dapat terus menjaga budaya kita dan secara tidak langsung mengharmonikan kita semua yang berada di Borneo ini,” ujarnya.

Pengarah Penyiaran Sarawak Jabatan Penyiaran Negeri Sarawak Wan Azhan Wan Hamat memaklumkan Program Bermukun se-Borneo ini juga bukan berupaya melestarikan budaya namun dapat mempromosikan Kuching sebagai pusat pelancongan kepada negara serantau.

“Kami akan bawa semua delegasi dari ketiga-tiga negara untuk menikmati keindahan Kuching dan tempat-tempat pelancongan yang ada. Ini dapat memberikan gambaran kepada delegasi bahawa Kuching merupakan salah satu destinasi pelancongan yang harus dimasukkan dalam pelan pelancongan negara mereka,” ujarnya.

Penyertaan melibatkan stesen penyiar negara masing-masing iaitu Malaysia diwakili Radio Televisyen Malaysia (RTM), Indonesia oleh Radio Republik Indonesia (RRI) dan Brunei diwakili Radio Televisyen Brunei (RTB).

Rakaman awal Bermukun se-Borneo 2024 akan diadakan pada 8 November 2024 dan 10 November 2024, manakala siaran langsung berpenonton pula akan diadakan pada 9 November 2024, pukul 8.30 malam hingga 10.30 malam menerusi saluran radio SARAWAKfm, penstriman langsung di Facebook SARAWAKfm dan siaran di RTMKlik.

Bermula semalam hingga 11 Nov ini, program itu membawa tema ‘Hari Radio Sedunia’, ‘Hari Raya Aidilfitri’, ‘Hari Kebangsaan’, ‘Sambutan Ulang Tahun Stesen’, ‘Sambutan Tahun Baharu’, ‘Perpaduan dan Kasih Sayang’, dengan persembahan oleh pemukun diiringi seh gendang, pemain biola dan pemanting gambus.

Pada 11 November 2024, delegasi akan dibawa berkunjung ke Kampung Budaya Sarawak untuk memberi peluang kepada mereka mengenali dengan lebih dekat lagi budaya masyarakat yang berbilang kaum di Sarawak.

Pada sebelah malamnya pula, delegasi akan diraikan pada satu majlis khas iaitu Malam Segulai Sejalai yang dijangka dihadiri oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan