MIRI, 7 Nov: Kepelbagaian rentak gendang di Sarawak diangkat sebagai simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, memperlihatkan keindahan budaya yang kaya dan berwarna-warni di negeri ini.
Sehubungan itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata program ‘Sound of Drums’ mencerminkan semangat perpaduan antara etnik yang kaya dengan adat dan tradisi.
“Malam ini kita menyaksikan pelbagai jenis gendang dari pelbagai etnik yang mewakili keindahan dan kekayaan budaya Sarawak.
“Program ini bukan saja menjadi satu platform untuk mempersembahkan keunikan gendang dari etnik-etnik yang ada di Sarawak tetapi menunjukkan semangat perpaduan dan harmoni yang menjadi asas kepada keistimewaan negeri Sarawak,” katanya pada majlis perasmian program Sound of Drums sempena Karnival Taste of Borneo 3.0 di sini, malam ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus.
Dalam pada itu, program ini bertujuan untuk mencipta pengalaman yang menghubungkan warisan budaya antara generasi, terutamanya untuk generasi muda yang mungkin kurang mengenali seni tradisional ini.
“Saya yakin melalui program seperti Sound of Drums kita bukan saja mampu memelihara dan memartabatkan warisan budaya kita tetapi juga membuka peluang khususnya kepada generasi baru kita untuk mengenali dan menghargai seni budaya asal tempatan kita.
“Saya tahu sekarang kita berlawan dengan gajet, kita berlawan dengan dunia tetapi kita harus bertahan dan kita harus menunjukkan kepada dunia budaya kita dan kecantikan budaya kita,” katanya.
Sebanyak 12 persembahan kebudayaan dipersembahkan kepada para pengunjung, termasuk persembahan khas dari negara Brunei Darussalam dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Selain itu, persembahan gendang dari pelbagai suku kaum dan tarian zapin turut menambah kemeriahan suasana di karnival ini. – TVS