BRUNEI, 7 Nov: Dianggarkan 2,100 tiket Borneo Jazz Festival (BJF) terjual setakat ini, kata Pengarah Festival untuk Borneo Jazz Festival 2024, Allen Jude Pio Stanley.
Beliau yakin tiket tersebut akan terjual melebihi sasaran iaitu 4,000 keping dalam minggu ini.
“Kami akan berusaha untuk memastikan bahawa tiket akan terjual 100 peratus dalam minggu hadapan dan saya juga faham bahawa ada sesetengah daripada mereka perlu menunggu hujung bulan atau pada hari gaji dan sebagainya.
“Namun saya yakin penjualan tiket sebanyak 100 peratus akan dapat dicapai dalam masa satu minggu. Malah kami juga akan menjangkau sasaran iaitu sebanyak 4,000 pengunjung,” katanya.
Allen berkata demikian pada sidang media Borneo Jazz Festival di Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Brunei (STATOB) di sini, hari ini.
Tambahnya, ramai peminat yang membeli pas secara pakej iaitu untuk hari pertama dan kedua.
“Hari kedua (penjualan tiket) adalah lebih laris. Hari pertama pun sama tapi kebanyakan daripada mereka membeli pas untuk dua hari. Bagi mereka yang membeli pas satu hari, lebih cenderung untuk menyaksikan persembahan daripada Sheila Majid,” ujarnya lagi.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam Datuk Mohd Aini Atan dan Ketua Pegawai Eksekutif STATOB Samat Junai.
BJF 2024 yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Miri bertemakan ‘Jazzy Miri’ diwarnai dengan persembahan daripada Ratu Jazz Malaysia, Sheila Majid, Makaya McCraven, Rio Sidik, The Clarinet Trio, The Shang Sisters, WVC Ensemble, Gerhana Skacinta dan banyak lagi.
Pas satu hari dijual pada RM80 dan pas dua hari RM150, manakala kemasukan hari ketiga adalah percuma.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh membeli tiket Festival Jazz Borneo 2024 bermula 7 Oktober 2024 di laman web jazzborneo.com, miricouncil.gov.my dan deckworksevents.com. – TVS