Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dua persalinan batik hasil sentuhan eksklusif Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan tenunan warga penjara dibawa dan dipamerkan pada Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-9. Foto Akma Salleh (TVS)

Persalinan batik hasil sentuhan Tunku Azizah dibawa ke Laos

ByAkma Salleh

VIENTIANE, 7 Nov: Dua persalinan batik hasil sentuhan eksklusif Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan tenunan warga penjara dibawa dan dipamerkan pada Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-9.

Menurut Pengarah Penjara Negeri Pahang, Dato Abu Hasan Hussain, hasil tenunan tersebut bukan sahaja memperlihatkan kemahiran dan kreativiti luar biasa oleh warga penjara tetapi juga mencerminkan keunikan seni tekstil.

“Produk-produk yang dibawa pada simposium ini melibatkan tenun Pahang diraja, songket daripada Terengganu, batik daripada Penjara Negeri Kelantan dan Penjara Wanita Kajang.

“Kita datang kali ini untuk memperagakan produk yang terkini untuk kita pamerkan kepada seluruh ASEAN. Kita bersyukur kerana dengan Yayasan Tenunan Diraja dibawah Tengku Ampuan Pahang kita bersama-sama dengan pihak kraftangan, Jabatan Penjara, berkolaborasi,” katanya kepada TVS.

Mengulas lanjut, Abu Hasan berkata, delegasi lain juga tertarik dengan motif terkini yang dihasilkan oleh prospek dari penjara.

“Prospek ini terdiri daripada pelbagai kategori kemahiran dan bersesuaian dengan tenunan diraja yang memerlukan kemahiran yang tinggi jadi kita memilih prospek yang lebih lama, tujuannya adalah untuk mereka mahir daripada kemahiran asas sehingga kemahiran yang tinggi.

“Bahkan hasil mereka yang dibawa ke sini turut mendapat perhatian daripada pempamer yang lain. Mereka menggabungkan teknik baharu dan lama tetapi keaslian tekstil itu masih dikekalkan,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, kebanyakan produk yang dikeluarkan turut mendapat permintaan yang tinggi termasuk dari golongan diraja sendiri.

“Permintaan cukup tinggi terutama di Pahang, sebab tenun diraja diguna pada setiap hari Khamis.

“Mereka belajar daripada kakitangan yang bersijil dan mereka juga disijilkan di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) iaitu di bawah tenun warisan. Bagaimanapun mereka perlu menamatkan kursus sehingga enam bulan untuk mendapatkan sijil ini (SKM) tahap tiga,” ujarnya.

Sebelum ini, Tunku Azizah bertitah, para petugas dan penghuni penjara banyak menyumbang kepada penghasilan seni tekstil itu sehingga terkenal di persada dunia ketika ini.

Titah baginda, walaupun pada awalnya agak sukar bagi warga Jabatan Penjara Malaysia mempelajari tenunan itu namun kini ramai dalam kalangan mereka sudah mahir dalam seni tradisional tersebut sehingga mampu menghasilkan rekaan dan teknik baharu.

Tunku Azizah, yang juga Penaung Diraja bagi Seni dan Kraf Jabatan Penjara Malaysia, bertitah keindahan tenunan warga penjara turut menarik perhatian pelbagai individu termasuk ketika ia dipamerkan sempena Minggu Kraf London pada Mei tahun lalu, sehingga terdapat permintaan daripada Jabatan Penjara Singapura, Filipina dan Jepun untuk berkongsi ilmu seni tekstil Malaysia. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan