KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) ada pendirian dan perjuangan politiknya yang tersendiri, namun terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, tegas Timbalan Ketua Pemuda PBB Miro Simuh.
Menjawab tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Selangau Baru Bian yang mempersoalkan sama ada GPS berpegang keada prinsip dalam ideologinya ataupun tidak, Miro berkata GPS sentiasa konsisten dan berpegang kepada prinsip penubuhannya.
“Seperti ketika Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, GPS tidak menyertai PN. Sebaliknya, GPS bergerak sendiri dengan kerajaan pusat ‘PN campur GPS’,” jelasnya.
Miro memberitahu, tidak pernah juga timbul sama sekali isu GPS bersekongkol dan diperalatkan oleh UMNO, Bersatu dan PAS kerana sejak ditubuhkan, GPS sentiasa konsisten dengan pendirian dan asas perjuangannya, iaitu ‘Utamakan Sarawak’, dan akan terus memperjuangkan hak serta kepentingan Sarawak.
“Kejayaan GPS sudah banyak terbukti, termasuk mengambil balik Projek Bakun, selain berjaya dalam kes tuntutan cukai jualan minyak dan gas dengan PETRONAS, yang pernah cuba dihalang oleh Pakatan Harapan (PH), namun dipermudahkan pada zaman PN.
“GPS tetap berdiri atas entiti sendiri dan tidak bergabung dengan mana-mana parti yang berpangkalan di Semenanjung, tetapi GPS mengambil pendirian mesra Kerajaan Persekutuan demi menjamin kestabilan politik,” ujarnya.
Beliau menambah, keutamaan GPS adalah kestabilan politik dan memastikan kesinambungan program kerajaan yang sudah pun menampakkan kesan terutamanya dalam konteks vaksinasi dan juga pemulihan ekonomi.
“GPS konsisten dalam memberi tumpuan ke arah memastikan kestabilan politik serta demi kelangsungan ekonomi dan kehidupan rakyat,” katanya.