KUALA LUMPUR, 7 NOV: Semua negeri bersepakat jumlah jam dan hari bekerja bagi guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) diselaras serta ditingkatkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Perkara itu katanya dipersetujui hasil sesi libat urus Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Agensi Pelaksana KAFA Negeri dan Kementerian Pendidikan (KPM) dari 2022 hingga 2024.
“Selaras dengan keprihatinan masyarakat terhadap guru KAFA dan seiring dengan usaha mempertimbang pemberian jawatan tetap dan berpencen kepada mereka maka pelaksanaan rintis KAFA Perdana akan dilaksana bagi membolehkan (jumlah) jam dan hari bekerja guru ditingkatkan,” katanya.
Mohd Na’im berkata demikian pada sesi Penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Rabu.
Menurutnya pihaknya bakal mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan bagi permohonan rayuan bayaran elaun kepada guru KAFA rintis tertakluk kepada keadaan semasa kewangan negara dan kelulusan pihak berkaitan.
Mohd Na’im berkata kerajaan menerusi JAKIM sentiasa berusaha memelihara dan meningkatkan kebajikan 35,000 guru KAFA yang merupakan jentera utama pemerkasaan pembelajaran pendidikan Islam di negara ini.