KUALA LUMPUR, 6 Nov: Vokalis kumpulan Setia Band, Charly Van Houten menjanjikan persembahan hebat akan disajikan kepada peminat menerusi gandingan dengan bekas pemain gitar ST12 dalam Konsert Harmoni Muzik Setia.
Konsert itu dijadualkan berlangsung di Arena MegaStar, Kuala Lumpur pada 7 Februari 2025.
Charly berkata, sebanyak 30 buah lagu akan didendangkan dengan keunikan berbeza.
“Lagu yang akan dibawakan kali ini pasti berbeza dengan konsert-konsert sebelum ini.
“Ini kerana seleksi lagu berkenaan akan dipersembahkan dengan sentuhan dan gubahan yang lebih unik.
“Kami akan memberi pengalaman baharu kepada peminat kerana bukan sekadar pertunjukan audio yang dititkberatkan tetapi juga visual yang selaras dengan karakter setiap lagu,” jelas Charly kepada media.
Menurut Charly, konsert ini juga akan menampilkan bekas pemain gitar ST12, Peppeng dan beberapa artis jemputan yang lain.
Antara lagu menarik yang bakal dipersembahkan adalah Cari Pacar Lagi, Putri Iklan, Saat Terakhir dan pelbagai lagi.
Konsert ini juga akan dilengkapkan dengan beberapa kejutan istimewa yang dirancang khas kepada peminat yang hadir.
“Kalau (bercakap tentang) kejutan tak boleh diberitahu di sini. Kita rahsiakan.
“Apa yang pasti ami janji akan berikan yang terbaik kerana sejujurnya (peminat) Malaysia sangat luar biasa dengan penghayatan mereka terhadap karya muzik,” katanya.
Bagaimanapun, Charly menegaskan konsert itu akan diadakan untuk satu malam sahaja sekiranya tiket habis dijual walaupun mendapat permintaan tinggi.
Jelasnya, beliau mahu mengekalkan keistimewaan acara tersebut dan menjaga momentum persembahan agar tidak terjejas.
Tiket konsert tersebut telah habis dijual pada pra-pembelian pertama dan pihak penganjur akan membuka fasa kedua yang akan diberitahu kelak.
Harga tiket yang dijual bermula pada RM89 hingga RM199.
Sebarang maklumat lanjut boleh didapati di Instagram redbar-enterprise, Charly_Setiaku dan Dekingfx.official. -TVS