KOTA SAMARAHAN, 6 Nov: Penyertaan lebih 700 orang disasar bagi acara Samarahan Family Run anjuran Makan Sari Food Street pada Ahad ini.
Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Datuk Peter Minos berkata, acara itu bagi meransang gaya hidup sihat dan aktif, selain menyediakan waktu berkualiti bersama keluarga.
“Kita ini sebahagian daripada Kota Samarahan dan apa sahaja yang kita lakukan adalah untuk menceriakan penduduk di sini sama ada menerusi program Larian Keluarga, Marathon atau apa sahaja dan seperti yang semua ketahui penganjuran Maraton sebelum ini amat berjaya dan kita amat gembira.
“Apa yang kita mahu katakan adalah untuk sektor swasta tampil ke hadapan untuk bersama kita menganjurkan program atau acara seperti larian keluarga , maraton, perlawanan tinju dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Samarahan Family Run di Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) pada Rabu.
Dua kategori yang dianjurkan bagi acara itu iaitu kategori tiga kilometer dan lima kilometer dengan kedua-dua kategori tersebut terbuka untuk semua peringkat umur.
Larian tersebut juga turut disertai 50 kanak-kanak dari rumah kebajikan ‘Salvation Army’ yang ditaja khas oleh Penganjur, Makan Sari Food Street sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat mereka. -TVS