PAPAR, 5 Nov: Pemandu maut manakala penumpang cedera selepas van dinaiki terjunam ke dalam gaung setinggi lebih enam meter di Batu 23, Jalan Kimanis – Keningau, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, van berkenaan tersangkut pada sebatang pokok dan menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk hadapan.
Lee Jia Jun, 32, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala rakannya hanya mengalami kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 6.55 pagi.
Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera terus digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa didapati masih tersepit di dalam kenderaan malang berkenaan.
“Penumpang van berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan terus diberikan rawatan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Hospital Papar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa kedua yang juga pemandu kenderaan berjaya dikeluarkan selepas itu namun disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 9.30 pagi,” katanya. – TVS