ABU DHABI, 5 Nov: Kemajuan bandar lestari, Masdar di Abu Dhabi bakal dijadikan model pembangunan masa depan Bandaraya Kuching serta kawasan baharu di Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari berkata langkah itu penting dalam menjadikannya contoh kepada pembangunan lestari yang dilengkapi teknologi canggih dan baharu.
“Kami melihat ada kemungkinan kita belajar mengenai kelestarian bandar ini yangg boleh kita jadikan model kepada pembangunan yang hendak kita laksanakan di Bandaraya Kuching khususnya di kawasan baharu.
“Saya rasa kita boleh mencontohi apa yang telah dilaksanakan di bandar Masdar ini, kita bincangkan lagi, mungkin kita dapat bekerjasama dengan pihak Abu Dhabi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat bandar Masdar di Abu Dhabi pada Selasa sempena lawatan kerja rasmi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dalam lawatan tersebut, beliau mendapati beberapa penggunaan teknologi baharu yang dikuasakan menerusi tenaga solar, rendah karbon dan keseimbangan dalam pemeliharaan alam sekitar.
“Mereka menggunakan solar sebagai tenaga dan juga bangunannya berkisar kepada cara pembangunan mampan dan lestari.
“Saya melihat bahawa pembangunan ini mempunyai tahap yang begitu tinggi dari aspek menjaga alam sekitar dan juga yg mana ia menjadi rendah karbon dan dibangunkan institusi pengajian tinggi, komersial yang canggih dan juga pentadbiran,” ujarnya.
Beliau yakin dengan model yang dibangunkan Abu Dhabi di bandar lestari itu, ia mampu mengubah landskap pembangunan di Sarawak ke arah kemampanan.
Abang Johari turut membayangkan potensi kerjasama antara Sarawak dan Abu Dhabi dalam meneroka ekonomi baharu.
Perkara itu katanya akan dibawa ke dalam Kabinet Sarawak untuk perbincangan lanjut mengenai hala tuju kersama dua hala tersebut. -TVS