KUALA LUMPUR, 5 Nov: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggalakkan sekolah melaksanakan pelbagai program bersama komuniti yang menerapkan aspek keselamatan diri bagi mempertingkat pengetahuan Murid Berkeperluan Khas (MBPK).
Timbalan menterinya, Wong Kah Woh berkata aspek terbabit akan terus diperkasakan dalam Kurikulum Persekolahan Pendidikan Khas 2027.
“KPM telah menggariskan perincian aspek keselamatan diri ini dalam kurikulum pendidikan khas sedia ada.
“Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah Pendidikan Khas (KSSRPK dan KSSMPK) menyediakan pelbagai aktiviti pembelajaran bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran MBPK dalam pengurusan kehidupan harian khususnya dalam mengurus diri dan menjaga keselamatan diri.
“Hal ini sejajar dengan Dasar Orang Kurang Upaya yang memberi fokus terhadap memberikan perlindungan, sokongan dan peluang kepada individu yang mempunyai pelbagai jenis ketidakupayaan,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Kuala Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi mengenai kesediaan Kementerian untuk menerapkan pelajaran mengenai keselamatan diri dalam sukatan pelajaran MBPK.
“Gabungan aktiviti pembelajaran dan aktiviti sokongan intervensi dalam pelaksanaan Rancangan Pendidikan Individu (RPI) dapat meningkatkan keupayaan MBPK dalam aspek menjaga emosi, tingkah laku dan keselamatan diri dalam kehidupan harian,” katanya. -TVS